fb fb fb fb fb

Tiada pelanggaran SOP kesihatan dalam kejohanan ragbi di STAR - Exco Perak

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah/RTM

KUALA KANGSAR, 5 Oktober – Kerajaan Negeri Perak menegaskan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan aspek kesihatan semasa Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan di Ipoh baru-baru ini telah dipatuhi sepenuhnya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, berkata garis panduan tersebut ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah dilaksanakan oleh pihak penganjur mengikut ketetapan sedia ada.

Menurut beliau, setiap kejohanan yang dianjurkan diwajibkan mempunyai pasukan perubatan terlatih di lokasi bagi memberikan rawatan awal sekiranya berlaku kecederaan atau insiden tidak diingini.

“Proses kejohanan berjalan mengikut SOP yang ditetapkan. Rawatan awal diberikan oleh pasukan perubatan pasukan masing-masing sebelum diambil alih oleh pasukan perubatan KPJ yang menyediakan ambulans dan kemudahan lain,” katanya.

Khairudin berkata, walaupun SOP dipatuhi, pihaknya berpandangan langkah keselamatan perlu diperketatkan lagi bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.

“Dari segi SOP, tidak timbul isu pelanggaran. Namun, perlu ada penambahbaikan supaya kejadian seperti yang berlaku di STAR tidak berulang di tempat lain,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes kematian seorang pelajar tingkatan empat yang rebah ketika menyertai kejohanan berkenaan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, pada Jumaat lalu.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa Kementeriannya mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek keselamatan penganjuran aktiviti sukan di sekolah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD