KAPIT, 5 Oktober - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Batang Rajang berhampiran kawasan Pasar Kapit, tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 11.58 pagi bagi membantu mengangkat mayat yang ditemui di sungai berkenaan.
Sebaik menerima maklumat, sebuah pacuan empat roda bersama sebuah bot dan tiga anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 12.01 tengah hari dan menjalankan operasi pencarian di kawasan hilir sungai.
Hasil pencarian berjaya menemui mayat terapung kira-kira lima kilometer dari Pasar Kapit.
Mayat berkenaan kemudian diangkat oleh pasukan bomba bersama anggota polis ke dalam beg mayat sebelum dibawa ke Jeti WAF Bleteh untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.