fb fb fb fb fb

Legenda seni Kelantan dan bekas Ketua Bahagian Rancangan, Mohd Nor Jaafar meninggal dunia

PASIR MAS, 17 September – Legenda seni Kelantan yang juga bekas Ketua Bahagian Rancangan KELANTANfm, Mohd Nor Jaafar, 69, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 petang tadi di Hospital Lati, Pasir Mas.

Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang tahap empat selain komplikasi jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Anak sulungnya, Norsyahizan Mohd Nor, 43, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Mekasar, Pasir Mas berkata, arwah dimasukkan ke hospital semalam selepas tidak sedarkan diri di rumah.

“Dekat sebulan jugaklah arwah masuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ). Lebih kurang seminggu dirawat, balik ke rumah dalam tiga ke empat hari, selepas itu dia diserang gout dan buah pinggang. Masuk dalam wad, seminggu lebih jugaklah. Hari Khamis balik, lepas tu Jumaat masuk hospital balik, sampai ke hari ini lah,” katanya ketika ditemui.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Marsitah Mohd Noor, 64, serta sembilan anak.

Mohd Nor menamatkan perkhidmatannya sembilan tahun lalu sebagai Ketua Bahagian Rancangan KELANTANfm dan dikenali sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada dunia seni dan budaya negeri itu.

Selain saudara mara, rakan allahyarham, pegawai kanan serta Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Ivan Toh turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Bemban, Kelar, Pasir Mas, petang tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Wan Azhan Wan Hamat yang juga bekas Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, menyifatkan pemergian Mohd Nor sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni tempatan.

“Sepanjang mengenali beliau, kita tahu beliau seorang yang cukup komited dengan tugasan...terutama sekali berkenaan kebudayaan dan kesenian. Sebut sahaja tentang dikir barat, main teri (main puteri), memang tidak dapat dipisahkan, tidak dapat dinafikan penglibatan beliau dalam kesenian Kelantan. Saya rasa ini satu kehilangan kepada penggiat, pencinta, pendokong seni di Kelantan ini."

Rakan karib Allahyarham, Datuk Sayuti Mukhtar yang juga Presiden Pertubuhan Dikir Barat (PENDIKIR) menyifatkan pemergian beliau sebagai amat dirasai dalam kalangan penggiat seni.

"Suatu kehilangan besar bagi saya, seorang tokoh penyiaran yang boleh dianggap sebagai legenda bagi RTM Kelantan atau KELANTANfm, sejak menjadi DJ, penerbit program-program seni budaya Kelantan. Cara beliau bergaul, bermasyarakat dan penglibatan beliau dalam membantu meningkatkan imej Jabatan Penyiaran Kelantan secara khususnya, cukup berkesan. Saya percaya pendengar-pendengar di Kelantan turut merasakan kehilangan saudara yang bernama Mohd Nor Jaafar ini."

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Pukang, Pasir Mas, kira-kira pukul 10.15 malam.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI