KUALA LUMPUR, 17 September – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga empat murid yang terkorban akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Sabah.
Menurut kenyataan KPM, sebanyak 53 institusi pendidikan di kedua-dua negeri terjejas, melibatkan 24 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah, manakala 22 sekolah rendah serta dua sekolah menengah di Sarawak.
Selain itu, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di premis institusi pendidikan KPM sedang beroperasi, iaitu lima di Sabah dan satu di Sarawak.
KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak turut menyalurkan bantuan kecemasan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga institusi pendidikan yang terjejas terus terjamin.
Pada Isnin lalu, sembilan individu dilaporkan maut dalam insiden tanah runtuh di Kota Kinabalu dan Papar susulan hujan lebat berterusan sejak malam Ahad.