KUALA LUMPUR, 11 Mac- Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa empat daripada 16 Pakej 1A kerja bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah siap dan dibuka kepada pengguna.
"Pakej kerja 5, Donggongan ke Papar siap pada 29 Ogos 2022. Pakej kerja 27, Kg Lot M ke Batu 32 Sandakan telah siap pada 18 November 2022. Pakej kerja 15, Tawau ke Semporna telah siap pada 10 Ogos 2023 dan Pakej kerja 21, pintasan Lahad Datu telah siap pada 30 Oktober 2023," kata Ahmad Maslan di Parlimen.
Pelaksanaan fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo, Sabah dengan anggaran sepanjang 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja.
Pelantikan kontraktor bagi pembinaan 15 daripada keseluruhan pakej 1A kerja telah dibuat, dengan kemajuan mencapai 88 peratus dan dijangka siap awal tahun depan.
Sementara itu, Pakej kerja 91(A) membabitkan laluan Serusop ke Pitiru, masih diperingkat perolehan.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 pakej kerja akan dilaksana dengan kos berjumlah RM10.849 bilion menggunakan peruntukan pembangunan (DE) sepenuhnya.
Dalam pada itu, bagi Pakej 19 Kerja Fasa 1B, masih belum mula pembinaan dengan kos RM15.7 bilion yang akan dibiayai secara hibrid menggunakan peruntukan pembangunan dan melalui terbitan sukuk oleh dana lnfra Nasional Berhad.
Tambah Datuk Seri Ahmad, tempoh pembinaan mengambil masa selama lima tahun dan dijangka bermula seawal suku kedua tahun 2024.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.