fb fb fb fb fb

MOTAC sasar 94.3 juta pelancong antarabangsa menjelang tahun 2026

Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan ketibaan 94.3 juta pelancong antarabangsa sehingga tahun 2026.

Matlamat tersebut dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM399.6 bilion.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan optimis ia mampu dicapai menerusi langkah mempromosikan produk pelancongan negara di peringkat antarabangsa dan domestik.

Itu termasuk penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Pada tahun 2023, jumlah ketibaan pelancong seramai 20.1 juta dengan pendapatan RM71.3 bilion manakala sasaran ketibaan pelancong 2024, seramai 27.3 juta pelancong dengan kutipan pendapatan bernilai RM127 bilion."

"Sementara itu, bagi tahun 2025, kita sasar kehadiran seramai 31.4 juta pelancong dengan pulangan RM125.5 bilion serta sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, MOTAC menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong dengan pendapatan RM147.1 bilion," kata Khairul Firdaus di Parlimen, hari ini.

Tambah Khairul, MOTAC berharap persiapan rapi daripada semua pemain industri menjadi pendorong kemasukan pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain itu, kementeriannya komited untuk mempromosikan produk pelancongan negara di pasaran antarabangsa, termasuk penyertaan dalam platform World Travel Market.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM