fb fb fb fb fb

KPKM perkenal lima inisiatif tingkat produktiviti beras di Sabah

Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Lima inisiatif diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha meningkatkan produktiviti beras di Sabah.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia termasuk meningkatkan kadar skim subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 di seluruh negara bermula 9 Ogos lalu.

"(Inisiatif kedua) menaikkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak RM900 kepada RM1300 per tan metrik berkuatkuasa 15 Februari 2024.

"(Inisiatif ketiga) mengadakan siri perbincangan di peringkat negeri yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan dalam usaha mencari kaedah terbaik, selain mencari kawasan baru tanaman padi di Sabah," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beufort, Datuk Siti Aminah Aching di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, dua lagi inisiatif adalah melaksana Smart SBB Ala Sikinchan di Kampung Kesapang Tengah Kota Belud berkeluasan 27.81 hektar dan menggalakkan penggunaan variati benih padi sah bagi meningkatkan hasil menerusi benih berkualiti dari Semenanjung.

Tambah Arthur, kerajaan turut bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 per tan metrik beras pada harga borong bagi beras putih import bermula 5 Oktober lepas.

SITI AISHAH MD ISA