fb fb fb fb fb

Tiga juta pelajar mula sesi persekolahan baharu hari ini

Azman Adnan (dua kiri) meninjau hari pertama sesi persekolahan di SK Merlimau Dua, Melaka, hari ini

MERLIMAU, 11 Mac- Seramai 5.05 juta pelajar telah memulakan sesi persekolahan 2024/2025, bermula semalam dan hari ini. 

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 1.4 juta pelajar melibatkan Kumpulan A telah bermula semalam, manakala bakinya 3.65 juta pelajar Kumpulan B bermula hari ini.

Sesi hari ini membabitkan negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

"Seluruh negara kita ada 5.05 juta murid yang bersekolah bagi kumpulan A dan juga kumpulan B.

"Harapan kita kepada murid, ibu bapa dan guru-guru untuk memastikan sistem pendidikan dapat diperkukuhkan dari masa ke semasa, yang akhirnya hasrat akhir kita adalah untuk memastikan anak anak kita adalah anak-anak yang hebat dalam semua aspek," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau Dua, di sini.

Di Melaka membabitkan keseluruhan 153,813 pelajar iaitu sekolah menengah (66,547) dan sekolah rendah (87,256) melibatkan pelajar Tingkatan Satu (12,502) manakala pelajar Tahun Satu (13,804).

Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan telah memulakan sesi persekolahan 2024/2025, semalam.

Sementara itu, seramai 447,982 pelajar Tahun Satu akan mula menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bermula minggu ini.

Menurut Azman, ia melibatkan peruntukan lebih RM67 juta yang akan diagihkan di 8,903 sekolah di seluruh negara.

"Sebanyak RM67,1970,300 itu BAP untuk Tahun Satu dan melibatkan 8,903 sekolah di seluruh negara.

"Daripada jumlah RM788 juta, jadi bakinya sekarang ini ialah untuk anak-anak kita yang baru sahaja masuk ke Tahun Satu untuk tahun 2024 ini.

"Kita telah menyalurkan sebanyak RM702 juta sebelum ini kepada murid Tahun Satu hingga Enam pada sesi yang lalu," katanya.

Tambahnya, ibu bapa bagi pelajar Tahun Satu yang bakal menerima bantuan itu tidak perlu membuat sebarang permohonan kerana maklumat anak mereka telah diperoleh dan diproses oleh pihak sekolah.

SITI AISHAH MD ISA