fb fb fb fb fb

Lebih RM55 juta untuk perumahan rakyat Kelantan

KOTA BHARU, 8 Jun- Kerajaan Kelantan memperuntukkan dana berjumlah RM55.38 juta tahun ini bagi membantu golongan asnaf di seluruh negeri itu memiliki kediaman menerusi perumahan rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, setakat ini, 272 rumah asnaf atau dhuafat telah dibina melibatkan peruntukan berjumlah RM22.35 juta.

Katanya, peruntukan bagi pembinaan rumah dhuafat dua kali ganda lebih tinggi berbanding RM10.67 juta pada tahun lalu.

“Setiap rumah dhuafat bernilai RM55,000 berbanding RM45,000 yang ditetapkan sebelum ini. Ia tetap dibina untuk keselesaan penduduk miskin biarpun kos bahan binaan meningkat.

“Syarat pembinaan kekal bagi setiap rumah mempunyai tiga bilik, dapur, tandas dan ruang tamu,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Tunjong.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha) Kelantan, Muhammad Amir Bakhtiar Yusoff dan Pengerusi Pameran Perumahan dan Hartanah Malaysia (Mapex) Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat.

Mengulas lanjut, pembinaan rumah kepada dhuafat oleh kerajaan negeri itu dibina dengan syarat pemohon mempunyai tanah sendiri.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Amir Bakhtiar berkata, setakat ini, sejumlah 40 pemaju hartanah di Kelantan berdaftar dengan Redha negeri yang terlibat dalam menyediakan perumahan mampu milik di bawah paras harga RM300,000 setiap rumah.

“Berlaku peningkatan kos bahan api yang menyebabkan kos pembinaan rumah yang dianggap sesuai ketika ini adalah sekitar RM150 - RM180 kaki persegi bergantung kepada kelengkapan infrastruktur.

“Pihak Redha turut menasihatkan pengguna agar tidak tertipu dengan pemaju tidak berdaftar yang menawarkan harga lebih rendah,” katanya.


(Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob (tengah) pada Majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Tunjong)

Media Baharu