fb fb fb fb fb

Pahang sasar Lipis sebagai UNESCO Global Geopark

(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

PAHANG, 8 Jun- Pahang menyasarkan daerah Lipis diiktiraf sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan sebagai langkah awal, kerajaan negeri telah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan, jawatankuasa tersebut merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah geopark kebangsaan yang merupakan antara syarat untuk melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark.

"Aspirasi Lipis Geopark akan menjadi platform untuk memperkasa kepelbagaian warisan, selain mempertingkat sosio-ekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakkan aktiviti pelancongan," katanya.

Beliau juga berharap usaha tersebut membolehkan daerah itu diuruskan secara holistik berteraskan kelestarian alam semula jadi selain menjadi tarikan pelancongan khususnya bagi mereka yang meminati bidang geologi.

Antara keunikan Lipis selain sebagai bandar warisan Pahang adalah dengan terdapatnya batuan berusia Devon–Perm Tengah iaitu sekitar 420 hingga 270 juta tahun lepas di Pos Betau yang menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk Semenanjung Malaysia.


(Kerajaan negeri telah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan
Kementerian Tenaga 
dan Sumber Asli melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang
untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark)

Media Baharu