fb fb fb fb fb

Malaysia dan UK sepakat laksana kerjasama tangani cabaran perubahan iklim

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Malaysia dan United Kingdom menandatangani memorandum persefahaman mengenai perubahan iklim yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara dalam melaksanakan pelbagai tindakan bagi menangani cabaran perubahan iklim.

Memorandum itu ditandatangani oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Malaysia dan Menteri Rantau Pasifik dan Alam Sekitar Antarabangsa yang mewakili United Kingdom, Lord Zac Goldsmith.

Tuan Ibrahim dalam kenyataannya berkata, kedua-dua negara akan bekerjasama untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca berdasarkan komitmen negara masing-masing dengan menggalakkan perkongsian kepakaran teknikal dalam lima bidang utama.


(Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Rantau Pasifik dan Alam Sekitar
Antarabangsa United Kingdom, Lord Zac Goldsmith menandatangani memorandum persefahaman)

Antaranya melibatkan usaha sama dalam perubahan iklim, pembangunan dasar mengenai pengurangan pelepasan gas rumah hijau, kerjasama penyelidikan saintifik dan teknikal, menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam usaha ke arah transisi pembangunan mampan dan rendah karbon serta aktiviti-aktiviti bersama masyarakat.

Beliau juga optimis kerjasama dengan United Kingdom dalam bidang perubahan iklim dan pembangunan mampan ini akan memangkin aspirasi negara untuk mencapai pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050.

Media Baharu