fb fb fb fb fb

Carilamat nelayan dikhuatiri jatuh ke laut diteruskan

KUALA PERLIS, 8 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan tempatan yang dikhuatiri terjatuh ke dalam laut pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot PERKASA 1240 Maritim telah diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima maklumat dan arahan koordinasi daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

Jelas beliau, mangsa, Bukhari Yusof, 45, kali terakhir dilihat sedang tidur di atas bumbung bot semasa berada di laut.

"Menurut tekong bot berkenaan, mangsa disedari hilang dan disyaki jatuh ke dalam laut setelah bot dipukul ombak kuat semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan.

Kejadian berlaku kira-kira 5.7 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada pukul 1.00 pagi semalam," katanya.

(Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis)

Usaha mengesan mangsa turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan dengan keluasan pencarian seluas 40.14 batu nautika persegi.

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut didirikan di Pangkalan Nelayan Sungai Baru, bagi menyelaras operasi pencarian mangsa.

Media Baharu