NILAI, 11 Mac-Jumlah pesakit yang menghidap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) kini sangat membimbangkan dengan lebih 9,000 pesakit dikenal pasti perlu menjalani rawatan dialisis setiap setahun.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa statistik kajian mendapati satu daripada setiap tujuh rakyat Malaysia mengalami penyakit buah pinggang kronik, menunjukkan ia perlu diambil perhatian serius.
Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 pula mendapati 1.7 juta individu dalam negara menghidap tiga rangkaian NCD utama iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi manakala 3.4 juta lagi menghidap kombinasi mana-mana dua penyakit NCD itu.
Sehubungan itu, dalam menangani kebimbangan peningkatan NCD dan CKD, Kementerian Kesihatan (KKM) komited dalam menghasilkan Kertas Putih Kesihatan (HWP) untuk merealisasikan pengharapan dan reformasi agenda kesihatan.
Jelasnya, tumpuan utama KKM adalah untuk mengubah penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan dengan meluaskan promosi dan pencegahan penyakit sebagai sebahagian daripada fokus baharu pengurusan NCD.
UPSOUND:
"Tumpuan utama Kementerian adalah untuk mengubah penjagaan pesakit iaitu 'sick care' kepada penjagaan kesihatan iaitu 'health care'. Dengan memperluaskan promosi ataupun mempromosi kesihatan dan pencegahan iaitu menghindari penyakit sebagai sebahagian daripada fokus baharu terhadap pengurusan NCD", kata Zaliha.
Beliau berucap demikian pada Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di Nilai.
Dianggarkan, lebih 850 juta individu di seluruh dunia menghidap penyakit buah pinggang.
(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa/Foto RTM)