
PUTRAJAYA, 21 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Putrajaya dijangka dihadiri lebih 80,000 pengunjung.
- Tahap kesiapsiagaan sambutan kini 85 hingga 90 peratus selepas latihan statik semua kontinjen.
- Perarakan melibatkan 10,819 peserta dari 77 kontinjen serta 328 aset termasuk 22 EV dan 112 aset hidup.
- Orang ramai dijemput menyaksikan raptai penuh pada 29 Ogos.
- Sambutan bertema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati diselaraskan oleh 18 jawatankuasa kerja, menitikberatkan keselamatan dan logistik.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah bagaimanapun memaklumkan sasaran itu, bukan menunjukkan angka pada hari sambutan.
“Kita menjangkakan antara 80,000 hingga 100,000 pengunjung akan berada di lapangan pada hari sambutan. Sekiranya lebih daripada itu, ia merupakan bonus kepada penganjur.
“Tahap kesiapsiagaan sambutan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus, selepas latihan statik melibatkan semua kontinjen,”katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tapak Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Datuk Abdul Halim dalam pada itu turut menyatakan sambutan tahun ini tetap berlangsung meriah walaupun, dilaksanakan dengan peruntukan sederhana.
Acara perarakan serta perbarisan bakal melibatkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam serta 11 kereta berhias.
Orang ramai turut dipelawa menyaksikan raptai penuh pada 29 Ogos ini.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang bertemakan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati diselaraskan menerusi 18 jawatankuasa kerja yang ditubuhkan Kementerian Komunikasi bertujuan memastikan setiap aspek persiapan termasuk keselamatan, logistik serta kesiapsiagaan tapak berada pada tahap terbaik.
Putrajaya dipilih sebagai lokasi Sambutan Hari Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut, bermula 2025 hingga 2027.