fb fb fb fb fb

Lebih 800 syarikat di Perak peroleh sijil halal JAKIM

Datuk Seri Saarani Mohamad ketika merasmikan Program Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak/BERNAMA

IPOH, 27 November- Lebih 800 buah syarikat yang beroperasi di Perak telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Syarikat berkenaan merangkumi skim pengilangan produk makanan, farmaseutikal, peranti perubatan, kosmetik, rumah sembelihan dan beberapa sektor lain.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, industri halal semakin berkembang pesat dengan pasaran global dijangka mencecah RM23 trillion menjelang 2030 berbanding RM10 trillion pada 2020.

"Jadi dari semasa ke semasa kita akan tingkatkan bilangan itu sebab itu kita buat program seperti ini dan jika ia boleh melepasi 1000, bermakna itu satu pencapaian besar kepada Negeri Perak. Semoga kita dapat mendidik, membimbing usahawan-usahawan muda  dan mereka juga akan memberi motivasi kepada rakan-rakan yang jauh lebih muda daripada dia, bermakna dari semasa ke semasa selain kita mengekalkan pemegang sijil halal yang ada ada kita dapat menambah bilangan usahawan itu" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi memperkukuhkan lagi industri halal, kerajaan negeri telah melancarkan Taman Industri Halal Perak atau Perak Halal Industries (Perak HIP), Ogos lalu.

Pelancaran Perak HIP bakal menjadi pemacu kepada perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat antarabangsa, selain menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat di negeri Perak.

ROSLINA BINTI DIN