KUALA LUMPUR, 27 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memiliki prosedur operasi standard (SOP) khusus yang mesti dipatuhi semua pegawai terlibat bagi mengelak kebocoran data sepanjang tempoh siasatan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata SOP itu termasuk dalam urusan pengambilan peranti untuk siasatan.
"Peranti tersebut akan dipulang balik kepada pihak berkenaan dalam tempoh tiga hingga empat bulan kalau tidak ada pertuduhan dibuat di mahkamah tetapi kalau pertuduhan dibuat, peranti tersebut perlu dibawa ke mahkamah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim mengenai langkah kementerian untuk membendung sebarang kebocoran maklumat dalam proses siasatan agensi atau badan penguat kuasa sekali gus menjamin ketelusan dan integriti agensi berkenaan.
Nie Ching berkata, sejak 2019 hingga tahun ini, MCMC telah mengambil sejumlah 220 tablet, komputer riba dan telefon bimbit untuk tujuan siasatan.
Katanya kesemua proses siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan seadilnya.