fb fb fb fb fb

Subsidi minyak masak paket diperluaskan kepada peniaga mikro tahun depan - Fuziah

Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 27 November- Pelaksanakan subsidi bersasar minyak masak paket pada tahun hadapan tidak hanya disasarkan kepada isi rumah, malah turut merangkumi agihan kepada peniaga mikro.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ketika ini sistem subsidi barangan keperluan itu bersifat subsidi pukal di bawah Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan ia terhenti di peringkat peruncit.

Katanya, sistem berkenaan akan ditambah baik dan diperluaskan ke peringkat pengguna, selain mengelakkan berlaku ketirisan.

"Kita tidak akan teruskan perkara yang sama dan memang kerajaan hari ini amat gusar dengan apa yang dikongsi oleh (Ahli Parlimen) Titiwangsa tadi.

"(Jadi) apa yang disarankan, kementerian lihat bahawa yang wajar menerima subsidi ini adalah golongan B40 (dan) sebahagian daripada M40 pun memerlukannya (subsidi), (tetapi) bukan semuanya.

"Kita anggarkan dalam 5.8 juta isi rumah akan layak menerima subsidi ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat.

Tambah Fuziah, kementeriannya juga melihat cadangan pemindahan tunai (cash-transfer) kepada pengguna bagi pembelian minyak masak paket mungkin menjadi penyelesaian terbaik, namun mekanisma perlaksanaannya memerlukan penelitian lebih lanjut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA