
KUALA LUMPUR, 29 Januari -Lebih 500 perusahaan disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) atas pelbagai kes antipersaingan, termasuk amalan kartel dan tipuan bida melibatkan perolehan kerajaan.
- MyCC menyiasat lebih 500 perusahaan bagi kes antipersaingan termasuk kartel dan tipuan bida melibatkan perolehan kerajaan.
- Siasatan meliputi pakatan harga, pembahagian pasaran, kawalan pengeluaran dan penipuan bida yang menjejaskan perbelanjaan awam.
- Kerajaan peruntuk RM5 juta dalam Belanjawan 2026 untuk unit khas tipuan bida di bawah MyCC.
- Kerjasama MyCC dengan pihak berkuasa tempatan bertujuan memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan kecekapan perolehan awam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan berkenaan merangkumi pakatan harga, pembahagian pasaran, kawalan pengeluaran serta tipuan bida yang menjejaskan kecekapan perbelanjaan awam.
“Bagi tipuan bida, daripada 2022 hingga 2025, sudah ada empat keputusan akhir. Salah satunya melibatkan sebuah tender di Perbadanan Putrajaya tahun lalu,” katanya.
Datuk Armizan berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan MyCC di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, amalan kartel bukan sahaja bercanggah dengan prinsip tender terbuka, malah meningkatkan kos projek serta membuka ruang kepada ketirisan.
Perkara itu turut bercanggah dengan agenda Kerajaan MADANI yang menekankan nilai untuk wang, ketelusan dan persaingan sihat dalam perolehan awam.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penglibatan MyCC mampu memperkukuh tadbir urus serta melindungi kepentingan awam.
“Saya amat yakin dengan kepakaran MyCC. Apabila MyCC membantu pihak berkuasa tempatan dan agensi, duit rakyat dapat diselamatkan dan digunakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan latihan dan kerjasama itu mampu melahirkan lebih ramai pegawai yang berkeupayaan mengenal pasti aktiviti kartel dalam pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, RM5 juta diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bagi penubuhan unit khas tipuan bida di bawah MyCC.
Ia sebahagian pendekatan menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh penguatkuasaan serta mencegah ketirisan sejak peringkat awal perolehan.