fb fb fb fb fb

Lebih 50 tahun menunggu, 39 keluarga dapat bekalan elektrik

JELEBU, 15 Julai- Penantian lebih 50 tahun bagi 39 keluarga di Kampung Chalin dan Kampung Dusun Umbut, Chennah, Jelebu, untuk mendapatkan bekalan elektrik berakhir apabila kediaman mereka menerima bekalan tenaga tersebut pada 4 April 2023.

Ketika tiada bekalan elektrik, mereka menggunakan generator, malah sejak empat tahun lalu, mereka turut memasang lampu solar bagi menerangi kawasan sekeliling rumah.

Namun, penantian tersebut berakhir apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan kerja pemasangan meter sebelum bekalan elektrik boleh digunakan pada 5 April 2023.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rosmadi Arif, sebelum terdapat bekalan elektrik di kampung berkenaan, rata-rata penduduk menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.

'Sejak mendapat bekalan elektrik, penduduk kampung memanfaatkan inisitif tersebut dengan menceburi bidang perniagaan dengan membuka gerai makan serta kedai runcit kecil-kecilan.

"Sekarang ini mereka boleh menjadikan satu produk baharu selain pertanian diusahkan mereka. Penduduk juga boleh membuat kedai runcit, kedai minuman teh dan sebagainya. Jadi ekonomi mereka bertambah," katanya kepada pemberita di sini.

Penduduk kampung, Azman Azmi bersyukur dan gembira selepas mendapat bekalan elektrik itu sehingga dapat membuka gerai makan.

"Saya berasa sangat gembira kerana telah mendapat bekalan elektrik sehingga dapat membuka gerai makan. Bekalan elektrik ini memudahkan urusan seharian. Lebih-lebih lagi untuk menyimpan bekalan makanan, dengan adanya peti sejuk, kita dapat menyimpan barang dan memudahkan kerja-kerja kita.

Seorang lagi penduduk Kampung Chalin, Ramli Muhammad menyifatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik ini penting dalam menjalankan kehidupan seharian terutamanya apabila anak-anaknya balik ke kampung pada hari perayaan dan cuti hujung minggu.

"Tentunya saya sangat bersyukur dengan kemudahan ini. Kami tidak lagi mempunyai masalah untuk menyimpan makanan, terutama apabila anak-anak pulang. Lilin, pelita dan lampu minyak tanah antara yang digunakan bagi menerangi kediaman kami sebelum ini." katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain Kampung Chalin dan Dusun Umbut di Jelebu, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid turut membabitkan 16 rumah di Kampung Sungai Mahang, Nilai.

Ujarnya, sehingga kini, 99.9 peratus kawasan membabitkan kediaman penduduk di Negeri Sembilan telah menerima bekalan elektrik, termasuk menerusi projek BELB.

"Saya ucapkan terima kasih kepada TNB dan kementerian terlibat atas usaha memastikan masyarakat di Negeri Sembilan menerima bekalan elektrik ini.

"Ini suatu perkara baik dan pastinya penduduk menghargai peranan pihak terlibat membantu mereka mendapatkan kemudahan yang memang wajib dalam kehidupan kita sekarang iaitu bekalan air, bekalan elektrik dan komunikasi," katanya.


(Ketika tiada bekalan elektrik, mereka menggunakan generator, malah sejak empat

tahun lalu, mereka turut memasang lampu solar bagi menerangi kawasan
sekeliling rumah)

Media Baharu