fb fb fb fb fb

Isu 3R: Polis terima hampir 30 aduan terhadap Sanusi

GEORGE TOWN, 15 Julai- Kementerian Dalam Negeri memberikan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang sesuai terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwa menyentuh isu 3R berkait agama, kaum dan institusi diraja.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ketika ini polis menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Siasatan, termasuk kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu yang turut mempertikai kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pemilihan menteri besar negeri tersebut ketika berucap pada program anjuran PN.

Justeru, tindakan sewajarnya perlu diambil kerana berulang kali Sanusi menyentuh isu 3R tanpa menghiraukan amaran yang telah diberikan Ketua Polis Negara, Tan Seri Razarudin Husain sebelum ini.

"Siasatan telah dibuka dan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, hampir 30 aduan mengenai perkara itu dibuat di seluruh negara.

"Siasatan sedang dibuat di bawah kanun keseksaan, di bawah akta komunikasi atau di bawah Akta Hasutan 1948, saya memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sesuai mengikut undang-undang," katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini.

Saifuddin turut mempertikaikan sikap diam diri Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Seri Abdul Hadi Awang yang tidak memberi sebarang teguran kepada Muhammad Sanusi mengenai perkara tersebut.

Setakat ini, hanya Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin telah membuat teguran lembut.


(Siasatan termasuk kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu
yang turut mempertikai kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
dalam pemilihan menteri besar negeri tersebut ketika berucap pada
program anjuran PN)

Media Baharu