KUALA LUMPUR, 15 Julai- Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), medan terbaik memperbaiki kualiti dan kepelbagaian produk pelancongan di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin TMM 2024 bakal menjadi ikon penting bagi Melaka meningkatkan daya tarikan dan popularitinya sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Penganjuran juga diharap dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi lebih mampan dan memberansangkan bagi Melaka.
Sekali gus memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
"Sektor pelancongan telah memberikan antara sumbangan terbesar dalam 'foreign exchange earnings' dan juga pertumbuhan dari segi ekonomi 'growth' yang disebut KDNK.
"Dalam keadaam beginilah pada hemat saya jika Melaka menyasarkan agar tahun hadapan 18 juta pelancong untuk digamit datang ke Melaka, saya memberikan dokongan sepenuhnya terhadap matlamat yang akan dicapai itu," katanya.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
Beliau berucap demikian dalam Majlis Pelancaran Festival Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), di MaTiC, di sini malam tadi.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga atas usaha Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia.
Kempen TMM 2024 dengan slogan 'Mana Lagi? Melaka Ler...akan berlangsung berlangsung di MaTiC hingga Ahad ini.
TMM 2024, Melaka sasar 18.7 juta pelancong
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan kehadiran 18.7 juta pelancong dari dalam dan luar negara, bersempena TMM 2024.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai acara dan produk pelancongan baharu turut dirancang sepanjang tahun depan.
Ia menerusi peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Sukacita saya maklumkan bahawa tahun hadapan Melaka akan dipenuhi dengan pelbagai acara menarik untuk pelancong.
"Di samping pelancong datang berkunjung, kita menyediakan pelbagai tarikan, antaranya cabutan bertuah bagi pengunjung yang datang bermalam di Melaka di hotel-hotel yang menyertai program TMM 2024.
"Dengan hadiahnya berupa 4 buah kereta sepanjang satu tahun iaitu setiap tiga bulan, ada sebuah kereta yang ditaja," katanya dalam sidang media selepas perasmian TMM 2024.
(Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)
Antara tarikan lain yang dirancang sepanjang tahun depan adalah pertandingan memancing besar-besaran di Sungai Melaka, restoran terapung di Sungai Paya Lebar dan pertandingan masakan ikan air tawar
Kerajaan Melaka juga melantik duta pelancongan atau Sukarelawan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dalam kalangan remaja berusia 18 hingga 25 tahun, dengan lebih 800 individu sudah mendaftar setakat ini.