fb fb fb fb fb

DAP kekal pertahan 16 kerusi pada PRN Selangor

(Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han/ BERNAMA)

SHAH ALAM, 15 Julai - DAP Selangor akan mempertahankan kesemua 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han berkata agihan kerusi berkenaan, merupakan bilangan yang telah dipersetujui antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita yakin DAP mampu untuk mengekalkan rentak terbaik dengan memenangi kesemua kerusi yang disandang pada PRU14 sebelum ini,” katanya.

Pada PRU14, DAP memenangi 16  kerusi DUN iaitu di Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Dusun Tua, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.

Bagaimanapun, kerusi DAP berkurangan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai Bryan Lai Wai Chong, mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas pada 2021 sebelum menyertai Warisan, tahun lepas.

Dalam pada itu, Ng yang sebelum pembubaran ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Kinrara yang diwakili beliau selama dua penggal.

“Kalau diberi peluang (bertanding) di Kinrara, ya. Tetapi saya serahkan kepada keputusan akhir parti. Saya sentiasa tegaskan bahawa kesemua 16 kerusi ini bukan milik individu, tapi milik DAP dan PH,” katanya.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun ialah PH mempunyai 40 kerusi merangkumi PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan, masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas, setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan, pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN, manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

Pada 13 Julai lalu, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengesahkan parti akan bertanding di sembilan kerusi DUN pada PRN nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - BERNAMA

Media Baharu