KUCHING, 1 Disember - Sebanyak 5,790 permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak telah diterima Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak (JPBS).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai memaklumkan, daripada jumlah itu, 5,186 permohonan telah diluluskan, dengan 1,835 diiktiraf komuniti Iban, 1,718 (Bidayuh), 601 (Melayu), 336 (Melanau), 199 (Murut atau Lun Bawang), 146 (Kenyah), 144 (Kayan) dan selebihnya daripada komuniti lain.
“Mulai 1 Januari 2025, semua permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak dibuat sepenuhnya secara dalam talian melalui Sistem Permohonan Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak (SARAS),” katanya.
Beliau menambah, “Pada 26 Jun, sistem itu ditambah baik dengan menambah fungsi semakan kelayakan bagi memastikan hanya permohonan yang memenuhi syarat akan diproses dan dibawa ke JPBS untuk pertimbangan.”
Menyentuh isu perundangan, Sikie berkata pada 15 Februari 2022, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan), 2022 yang meminda Ordinan Tafsiran, 2005 [Cap. 61] bagi memasukkan anak-anak hasil daripada perkahwinan campur sebagai Bumiputera, walaupun hanya ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.