fb fb fb fb fb

Lebih 5,000 pegawai, anggota pelbagai agensi pantau situasi banjir di Kedah

Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah

POKOK SENA, 4 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bersama lebih 5,000 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta jabatan berkaitan sentiasa memantau situasi semasa banjir di beberapa kawasan di negeri itu.
 
Timbalan Pengarah APM Negeri Kedah, Mejar (Pertahanan Awam) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua pihak terlibat berada dalam keadaan siapsiaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan khususnya melibatkan 119 kawasan kerap banjir.

"Nasihat saya kepada orang awam, sentiasalah mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Selain itu, bagi mereka yang berada di kawasan berisiko, diminta agar sentiasa peka dan membuat semakan di laman web MET Malaysia bagi memantau keadaan cuaca sama ada dalam keadaan baik atau sebaliknya," katanya.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan bantuan NADMA kepada penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna, di sini.

Selain memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat, kebajikan penduduk terjejas banjir khususnya mereka yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga turut diberi keutamaan.
 
Beliau berkata, banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah seperti Kubang Pasu, Pokok Sena, dan Sik berpunca daripada hujan lebat yang turun sejak petang semalam.
 
Ia menyebabkan kebanyakan kawasan yang terletak di kawasan rendah dan berdekatan sungai dinaiki air.
 
PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena yang dibuka pukul 11.00 malam tadi menempatkan seramai 200 penduduk daripada 50 keluarga.
 
Kesemua mereka daripada beberapa kawasan yang terjejas banjir, antaranya, Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu, dan Kampung Pulau Nyor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI