fb fb fb fb fb

Karnival Warga Emas Negeri Sembilan sasar 3,000 pengunjung

Karnival Warga Emas Negeri Sembilan / Foto RTM

SEREMBAN, 4 Oktober - Lebih 3,000 pengunjung disasarkan hadir ke Karnival Warga Emas yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi.

Karnival diadakan sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, sambutan kali ini menampilkan kelainan, apabila dilaksanakan dalam bentuk karnival dengan pelbagai program inklusif melibatkan semua peringkat umur.

Karnival ini juga dilihat sebagai usaha berterusan bagi memperkasa warga emas, bukan sahaja dari aspek kesihatan dan kebajikan, malah emosi dan hubungan sosial, agar terus menjadi aset penting kepada negara.

"Usia warga emas ni tak boleh elak. Jadi cerminan masa depan kita, wajah masa depan kita. Apa yang kita buat hari ni akan menentukan apa yang akan berlaku pada generasi yang akan datang. Dan 5 tahun lagi kita akan menjadi negara menua sebab 15% penduduk daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia akan dikira mencapai usia warga emas, iaitu lebih kurang 5.8 juta. Maka kita dianggap sebagai "aging nation", negara menua. Jadi kita kena buat persediaan-persediaan ke arah itu, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada karnival berkenaan, di sini.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan, antaranya Program Citra Minda Intergenerasi, pameran, jualan Rahmah, 'Fun Walk' serta senamrobik yang mendapat sambutan menggalakkan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan komitmen penuh untuk menyokong usaha memperkasa warga emas di negeri itu.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di semua daerah.

EMMI NORALIZA ADNAN