PUTRAJAYA, 29 November- Seramai 3,029 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara terjejas akibat banjir, setakat ini dengan lebih 500 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik.
"Saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang untuk berjumpa sukarelawan institusi pendidikan tinggi (IPT) agar siap siaga hadapi banjir, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) di Putrajaya.
Datuk Seri Dr Zambry berkata pihaknya telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk bakul makanan, pengangkutan dan talian antarabangsa untuk pelajar yang terjejas.
Selain itu, Kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan keselamatan pelajar.
NADMA hari ini dilaporkan telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan penduduk terjejas banjir di lapangan memandangkan jumlah penduduk dipindahkan meningkat secara mendadak di Kelantan.
Menurut NADMA, ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan (bahaya) hingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir lebih besar.