KOTA BHARU, 29 November-Trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digunakan untuk mengambil calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di kawasan pendalaman untuk di bawa ke pusat peperiksaan yang berlangsung pada 2 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan telah diadakan bersama pihak ATM sehubungan itu pengetua dan pegawai peperiksaan diminta mengkoordinasi perkara itu dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi melancarkan urusan membawa pelajar terlibat.
"Saya juga telah koordinasi dengan pihak tentera agar calon-calon SPM yang berada di pedalaman dan terputus hubungan agar trak-trak tentera akan dapat mengambil mereka.
"Dan saya mohon pengetua-pengetua, para guru yang menjaga calon-calon SPM akan dapat mengkoordinasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Pendidikan Negeri supaya tiada calon-calon yang gagal untuk hadir mengambil peperiksaan", katanya demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Setakat pukul 8.00 malam ini, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa terjejas banjir di Kelantan telah mencecah 72,398 orang daripada 22,516 melibatkan 10 daerah.