KANGAR, 29 November-Jumlah penduduk terjejas banjir kembali meningkat di Perlis.
Sehingga pukul 6.30 petang tadi, jumlah mereka yang berlindung di 4 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 490 orang berbanding 472 orang pada pukul 4.00 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud dalam kemas kini terbaharu, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih kekal beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi, Sekolah Kebangsaan Guar Nangka dan Sekolah Kebangsaan Arau serta Dewan Warisan Kangar
PPS SK Arau masih mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 161 orang daripada 48 keluarga.
Manakala PPS SK Titi Tinggi yang menempatkan penduduk terjejas banjir dari Kampung Titi Tinggi Hilir dan Kampung Guar Tinggi kini dengan 133 orang daripada 36 keluarga.
Diikuti PPS Dewan Warisan, Kangar meningkat kepada 123 penduduk daripada 33 keluarga.
Satu lagi, PPS SK Guar Nangka kekal dengan 73 penduduk terjejas banjir terdiri daripada 22 keluarga dari lima buah kampung.
Dalam perkembangan berkaitan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Arau.
PPS SK Arau ketika ini mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 161 orang daripada 48 keluarga.
Dalam lawatan itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa peralatan solat kepada Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud.
Sumbangan ini diharapkan dapat memberikan keselesaan kepada mangsa semasa berada di pusat pemindahan sementara itu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara serta menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi dan sukarelawan untuk menghadapi situasi bencana dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Polis Daerah (OCPD) Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi.