fb fb fb fb fb

Lebih 250,000 pengembara direkodkan masuk dan keluar Malaysia sejak 1 April

KUALA LUMPUR, 7 April - Seramai 252,730 pengembara direkodkan masuk dan keluar Malaysia sejak 1 April hingga Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya, berkata jumlah itu direkodkan melalui pintu-pintu masuk utama negara ini.

"Antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor, Padang Besar, Perlis, Bukit Kayu Hitam, Kedah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan pintu masuk Sungai Tujoh, Sarawak", menurutnya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata berdasarkan jumlah pengembara tersebut seramai 126,392 (ketibaan) dan 28,301 (berlepas) merupakan warganegara Malaysia. Manakala 55,121 (ketibaan) dan 42,916 (berlepas) adalah pengembara warga asing.

Lima negara yang merekodkan jumlah pelawat tertinggi adalah Singapura diikuti Thailand, Indonesia, India dan United Kingdom.

(Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud)

Selain itu, pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa juga mencatatkan peningkatan yang mendadak.

"Bagi tempoh 1 hingga 4 April 2022, sebanyak 12,923 naskah pasport telah dikeluarkan di semua Pejabat Imigresen seluruh negara dan dijangka akan terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong keluar negara dan mengerjakan ibadah umrah", katanya.

Pergerakan keluar masuk warga asing mencatatkan peningkatan sebanyak 76.4 peratus, manakala pengeluaran pasport merekodkan peningkatan sebanyak 38.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada bulan Mac 2022 lalu.

Jabatan Imigresen juga mengingatkan orang ramai terutama pengembara atau pelawat asing supaya sentiasa mematuhi protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Peraturan-peraturan Imigresen yang telah ditetapkan.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menyemak rekod senarai hitam dalam portal JIM atau kiosk yang terdapat di KLIA.

Media Baharu