PAYA RUMPUT, 13 Ogos - Seramai 22,879 atau 49.20 peratus kanak-kanak di Melaka telah menerima vaksin bawah Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) bagi tempoh 4 hingga 13 Ogos.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kejayaan berkenaan hasil komitmen semua pihak dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman penyakit demam campak dan rubella.
"Sepanjang MR SIA dijalankan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak menerima sebarang aduan kesan sampingan dan sederhana atau teruk selepas kanak-kanak menerima vaksin MR.
"Justeru saya menyeru kepada ibu bapa di negeri Melaka yang masih belum mendapat janji temu slot melalui aplikasi MySejahtera atau bawa anak-anak terus ke klinik kesihatan atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang di Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pemberian Vaksin MR Sempena MR SIA di Klinik Desa Paya Rumput, di sini.
Datuk Hee Sem berkata, pihaknya akan mengesan kanak-kanak yang tercicir daripada mendapatkan vaksin ini.
Turut menerima vaksin tersebut ialah dua anak kepada Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin.
Dalam pada itu, Datuk Rais berkata, lebih 400 daripada 700 kanak-kanak yang direkodkan bawah selian dan penjagaan Klinik Kesihatan Paya Rumput telah mendapat vaksin terbabit.