fb fb fb fb fb

Isu pembangunan Sabah, Sarawak jadi tumpuan perbahasan RMK13

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah disaran bekerjasama membangunkan sektor ekonomi biru sebagai strategi melonjakkan negeri itu sebagai bakul makanan utama negara.

Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan (GRS-Keningau) berkata, potensi besar negeri itu dalam sektor perikanan, pertanian dan penternakan perlu diterokai secara menyeluruh.

"Ia perlu dilaksanakan menerusi pendekatan baharu yang merangkumi keseluruhan rantaian industri dan bukan sekadar pelaksanaan projek secara berasingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek pembangunan di Sabah termasuk bekalan air, sekolah daif dan Projek Pan Borneo.

"Ini yang saya mintak kerajaan melihat secara serius bagaiman dari segi pengurusan pentadbiran di negeri sabah khususnya banyak ketirisan banyak kita dengar kes rasuah yang ada ini enforcement of law takde tindakan diambil jadi akan berleluasa," katanya.

Di Sarawak, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) meminta Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada pembinaan blok tambahan di sekolah kritikal luar bandar, termasuk memperkasakan pendidikan prasekolah dengan pendedahan awal teknologi kecerdasan buatan serta peralatan digital interaktif.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Sekolah Sukan Malaysia di Sarawak bagi mencungkil bakat atlet muda luar bandar.

Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) pula mencadangkan daerah itu dibangunkan sebagai pelabuhan darat memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan bandar utama di Kalimantan, selain menjadi pintu masuk dari wilayah tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI