fb fb fb fb fb

MAIWP sumbang RM25,100 kepada mangsa kebakaran Pantai Dalam

Menteri Agama dan MAIWP menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pantai Dalam petang tadi/Foto MAIWP

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Mangsa kebakaran di Pantai Dalam pada 8 Ogos lalu menerima bantuan tunai berjumlah RM25,100 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi meringankan beban mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selain menyalurkan bantuan, kunjungan pihaknya bersama MAIWP turut memberi kekuatan kepada mangsa untuk tabah menghadapi ujian.

“Saya mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat dalam musibah tersebut. Ziarah ini juga untuk memberi kekuatan dan semangat agar mereka bersabar dengan ujian daripada Allah SWT.

"Kebanyakan mereka yang terkena musibah kebakaran pada 8 Ogos lalu tidak berada di rumah ketika kejadian,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Musibah di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini.

Terdahulu, beliau hadir bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya bagi menyantuni mangsa.

Selain bantuan tunai, MAIWP turut menyumbangkan kit musibah mengandungi keperluan kebersihan diri, pakaian dan kelengkapan solat, bantuan kewangan sekali bayar serta mencadangkan skim bantuan zakat mengikut kelayakan.

“Bantuan ini tanda prihatin agar mangsa dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang. MAIWP akan terus memantau keperluan mereka,” kata Mohd Nizam.

MAIWP menegaskan komitmen untuk terus mendengar, membantu dan memberi harapan kepada mangsa dalam usaha membina semula kehidupan mereka.

Sebelum ini RTM melaporkan satu kebakaran besar berlaku di Pantai Dalam yang memusnahkan 14 rumah setinggan dan beberapa premis perniagaan pada 8 Ogos lalu.

Kejadian itu menyebabkan 66 penduduk hilang tempat tinggal dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

Sebahagian besar mangsa dilaporkan tidak berada di rumah ketika kebakaran berlaku dan mendapati kediaman mereka musnah sepenuhnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN