fb fb fb fb fb

Pelaksanaan Dasar Air Negara, pacu transformasi sektor air negara

Datuk Seri Fadillah Yusof/ BERNAMA

KOTA BHARU, 13 Ogos - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Air Negara sebagai pemacu utama kepada transformasi sektor air negara.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu penting bagi memastikan bekalan air yang selamat, berdaya maju dan lestari untuk rakyat.
 
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menekankan, usaha tersebut bukan sahaja memperkukuh keterjaminan sumber air negara, malah berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab air dinamik yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan baharu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Dalam konteks ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memainkan peranan penting dalam memperkasa kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan ke arah pengurusan air yang bersepadu.

"Transformasi sektor air ke arah pengurusan air yang lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang lebih baik," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Malaysia 2025 di sini.

Pengurusan sumber air yang cekap kekal menjadi fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menerusi Teras A7 iaitu Pengukuhan Mitigasi dan Adaptasi Banjir, tiga strategi utama dikenal pasti.
 
Antaranya, penyegeraan pelaksanaan infrastruktur mitigasi banjir termasuk sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan penggunaan bekas lombong sebagai kolam takungan.
 
Strategi kedua menekankan adaptasi banjir melalui pembinaan rumah terapung dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

"Ketiga, pemantapan tadbir urus melalui perancangan guna tanah yang sistematik, penguatkuasaan piawaian pembangunan serta kerjasama dengan kerajaan negeri, selain memperkukuh jawatankuasa pengurusan bencana pusat dan memperluas pendekatan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti," katanya.
 
Datuk Seri Fadillah seterusnya menyeru Jabatan Pengairan dan Saliran, (JPS) agar terus menjadi peneraju dalam pengurusan sumber air secara bersepadu, mampan dan berdaya tahan.
 
JPS perlu memperkasa peranannya sebagai pemudah cara dasar air negara di peringkat negeri dan daerah, agar tiada lagi jurang dalam pelaksanaan projek berkaitan air.
 
Dengan pendekatan menyeluruh dan inovatif, sektor air negara dijangka berdepan masa depan lebih selamat dan mampan, selaras aspirasi negara menuju kelestarian sumber semula jadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI