fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 permohonan Pas DE Rantau Nomad sejak 1 Oktober

LANGKAWI, 16 Oktober- Lebih 2,000 permohonan atas talian direkodkan sejak permohonan Pas DE Rantau Nomad mula dibuka pada 1 Oktober lepas melalui Program DE Rantau yang merupakan salah satu Program Mangkin Digital Malaysia (PEMANGKIN).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia menunjukkan sambutan sangat menggalakkan meskipun belum memasuki tempoh dua bulan sudah mencapai ribuan permohonan untuk pas lawatan ikhtisas daripada nomad digital untuk datang menetap dan bekerja di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan lokasi kedua Program DE Rantau di sini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

Sebelum ini, DE Rantau dilancarkan di Pulau Pinang pada 13 September lalu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan utama warga nomad digital asing dan menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital antarabangsa selain memperkasakan sektor pelancongan negara di mata dunia.

Melalui DE Rantau, MDEC akan membangunkan hab nomad digital dan ekosistem tempatan yang komprehensif untuk menyokong gaya hidup nomad digital dengan kerjasama pelbagai pemain industri dan mencipta pas nomad digital baharu yang akan memudahkan nomad digital untuk menetap di negara ini.

Penubuhan Hab DE Rantau merupakan penginapan sedia ada yang diperakui akan memberi manfaat kepada penyedia dan pemilik penginapan tempatan sekali gus membantu pemulihan ekonomi sektor pelancongan.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) pada sidang media
selepas melancarkan lokasi kedua Program DE Rantau)

Annuar berkata pas khas itu sah diguna pakai dalam tempoh 12 bulan dan nomad digital boleh memperbaharui pas itu semula sekiranya ingin sambung menetap di negara ini.

Program DE Rantau juga dilihat dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital dan kementeriannya menyasarkan sebanyak RM70 bilion menjelang 2025 dengan kini telah merekodkan pencapaian sebanyak RM45 bilion.

Media Baharu