(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 26 Jun- Seramai 178,098 wanita telah mendaftar dan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setakat 19 Jun lalu.
Jelas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, pelbagai strategi dirangka bagi menggalakkan lebih ramai suri rumah menyertai skim berkenaan.
"Kementerian melalui PERKESO mengatur pelbagai mekanisme bagi memastikan SKSSRĀ mencapai matlamat pelaksanaannya.
"Kami mengadakan promosi kesedaran iaitu jerayawara atau 'roadshow' dan advokasi di 54 buah pejabat PERKESO seluruh negara serta penyiaran melalui media massa bagi mempromosikan skim ini.
"Sesi libat urus dengan pelbagai agensi turut diadakan untuk memohon sumbangan penajaan caruman SKSSR kepada wanita dan golongan asnaf seperti Mydin, Bank Muamalat, Lembaga Tabung Haji dan daripada ahli-ahli Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya ketika menjawab soalan Senator, Amir Md Ghazali di Dewan Negara di sini.
Turut dilaksana, Program Seranta melibatkan penyertaan pemimpin bersama masyarakat, aktiviti skuad prihatin dan sinergi sosial PERKESO.
Tambahnya, kementerian juga sedang meneliti untuk merangkumkan golongan bapa tunggal dan duda di bawah skim SKSSR.
(Foto BERNAMA)