fb fb fb fb fb

Lebih 1.7 juta permohonan BKM diterima setakat ini



KUALA LUMPUR, 13 Januari- Lebih 1.7 juta permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah diterima setakat 10 Januari lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, hampir 95 peratus daripada jumlah itu merupakan permohonan secara dalam talian.

Bagi pemohon yang tidak ada kemudahan internet, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka kaunter perkhidmatan di semua pejabat cawangannya pada hujung minggu pertama dan keempat bulan ini.

"Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini BKM dibuka mulai 1 Januari sehingga hujung bulan ini bagi memastikan mereka yang layak dapat mengemukakan permohonan masing-masing.

"Penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat berpeluang membuat kemas kini," jelasnya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

BKM akan memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion tahun ini.

Sementara itu, mengulas kemajuan inisiatif dilaksanakan kerajaan tahun lalu, sebanyak 11 juta rakyat negara ini telah menikmati pemberian Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan berjumlah RM8.8 bilion.

Inisiatif Jamin Kerja yang memperuntukkan RM4.8 bilion pula berjaya menjana 558,633 peluang pekerjaan, melangkaui sasaran ditetapkan sebanyak 500,000 pekerjaan.

Tahun ini, sasaran dinaikkan kepada 600,000 peluang pekerjaan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Media Baharu