KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Enam suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu berhubung penjualan sijil vaksinasi COVID-19, dipercayai palsu.
Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, suspek yang berusia antara 35 hingga 57 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Ke semua suspek ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berikutan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil vaksinasi walaupun pembayaran telah dibuat," katanya.
Terdahulu polis Terengganu menahan seorang doktor dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu di sebuah klinik swasta di Marang.
Suspek dipercayai melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September lalu dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.