fb fb fb fb fb

Lebih 1,300 kandungan penipuan guna AI diturunkan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September – 1,346 kandungan penipuan dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) diturunkan penyedia platform media sosial bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Ogos lalu.

Jumlah itu melibatkan 84 peratus daripada keseluruhan 1,602 permohonan penurunan kandungan dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata baki kes tertakluk kepada penilaian penyedia platform berdasarkan garis panduan komuniti masing-masing serta undang-undang tempatan yang relevan.

"Sebagai langkah proaktif membanteras penipuan dalam talian termasuk yang berpunca dari AI, kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

"NSRC yang diterajui PDRM (Polis Diraja Malaysia) turut giat melaksanakan program kesedaran awam dan kempen nasional berkaitan penipuan dan jenayah digital," katanya ketika menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara.

Tambahnya, sehingga 31 Ogos lalu, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 1,958 institusi pendidikan melibatkan lebih 145,000 peserta, manakala 236 sesi program melibatkan komuniti setempat direkodkan dengan penyertaan lebih 141,000 orang.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN