KUALA LUMPUR, 9 September - Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 disifatkan langkah prihatin kerajaan dalam membantu rakyat menampung kos sara hidup, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi domestik.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Dr. Mohd Khairi Ismail berkata walaupun jumlah itu mungkin berbeza impaknya kepada setiap individu, objektif utama SARA tetap jelas iaitu meringankan beban harian rakyat.
“RM100 ini mungkin cukup seminggu, mungkin lebih, bergantung bagaimana penerima memaksimumkan faedah daripada bantuan itu,” kata beliau ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kelangsungan program, beliau menegaskan penambahbaikan perlu dibuat dari semasa ke semasa, termasuk memperluaskan senarai barangan asas dan menambah jumlah kedai runcit serta pasar raya yang mengambil bahagian, khususnya di kawasan luar bandar.
“Makin banyak kedai terlibat, makin mudah rakyat dapatkan barangan tanpa perlu bergerak jauh. Maklum balas daripada pengguna juga penting untuk pastikan program (SARA) ini benar-benar memberi manfaat,” jelasnya.
Mohd Khairi berkata dari segi impak ekonomi, suntikan tunai ini memberi rangsangan kepada aktiviti domestik kerana meningkatkan kuasa beli rakyat.
“Ada pelajar gunakan bantuan SARA ini sebagai modal berniaga kecil-kecilan, ada pula yang menampung perbelanjaan harian. Pada skala makro, ia merangsang permintaan pengguna dan pengeluaran barangan, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka pendek,” katanya.
Beliau turut mengulas mengenai gangguan sistem pada minggu pertama pelaksanaan yang mendapat perhatian apabila sebahagian penerima tidak dapat melakukan transaksi pembayaran.
"Bila sistem baharu diperkenalkan, pasti ada kekurangan pada peringkat awal. Namun SARA ini berjalan hingga Disember, jadi penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas. Pengguna juga berhak melaporkan sebarang isu harga atau kedai yang tidak patuh pada peraturan,” katanya.
Bagi impak jangka panjang, Mohd Khairi berpendapat bantuan seperti SARA boleh dipelbagaikan meliputi bukan sahaja makanan, tetapi juga peralatan pendidikan dan teknologi.