fb fb fb fb fb

Banjir: Beberapa fasiliti kesihatan di Beaufort ditutup sementara

Beberapa fasiliti akan kembali beroperasi selepas keadaan pulih sepenuhnya

BEAUFORT, 9 September - Beberapa fasiliti kesihatan di bawah Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort ditutup sementara susulan bencana banjir yang melanda daerah itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut notis yang dikeluarkan hari ini, fasiliti berkenaan akan kembali beroperasi selepas keadaan pulih sepenuhnya dan hanya Klinik Kesihatan (KK) Padas Damit dibuka untuk kes kecemasan.

“Penutupan sementara ini dilakukan demi keselamatan pesakit dan kakitangan kesihatan. Segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Unit Bergerak Promosi Kesihatan (UBPK) Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort turut melaksanakan hebahan awam dan pendidikan kesihatan di kampung-kampung terjejas banjir serta sekitar pekan Beaufort.

Masyarakat diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan kebersihan kendiri bagi mengelakkan jangkitan penyakit bawaan air seperti Leptospirosis atau kencing tikus serta melioidosis.

“Orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika berada di kawasan banjir serta mengamalkan langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan,” menurut kenyataan UBPK.

Terdahulu, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan 28 kampung di daerah ini dilanda banjir dengan paras air Sungai Padas dilaporkan berada pada tahap bahaya.

Keadaan itu memaksa penduduk terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon yang mula diaktifkan pada 9 pagi tadi, bagi menempatkan penduduk terjejas secara berperingkat.

GRACE AISYAH KEDAYAN