fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Rusia perkasa rangka kerjasama serantau dan pelbagai hala

Perdana Menteri semasa pertemuan dua hala dengan presiden Putin di Vladivostok, Rusia tahun lepas.

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Lawatan tersebut bermula esok hingga 16 Mei ini.

Bermula di Moscow pada 13 Mei sebelum ke Kazan pada 15 Mei bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa "Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum".

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan tersebut juga bertujuan memperkasa rangka kerja kerjasama serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.

“Di Moscow, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin bagi menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agri-komoditi, pendidikan, aeroangkasa serta tenaga. Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan tersebut.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi rangka kerja Hubungan Dialog ASEAN-Rusia.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama pemimpin industri, menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) serta mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Moscow.

Di Kazan, Datuk Seri Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama khas semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam”.

Kemuncak bagi lawatan Perdana Menteri ke Kazan ialah penyertaan dalam Forum Ekonomi Antarabangsa "Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum" dengan Perdana Menteri dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno.

KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion.

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti serta makanan yang diproses.

Import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

JALALUDDIN BIN BAHARIN