fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Arab Saudi serlahkan komitmen perjuang kepentingan Islam

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bersama
delegasi Malaysia melaksanakan ibadah umrah pada hari pertama lawatan rasminya ke Arab Saudi/FOTO Anwar Ibrahim)

JEDDAH, 25 Mac - Kehadiran lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi turut membawa misi penting untuk memperkukuh penyatuan negara-negara Islam selain mempengaruhi perdagangan ekonomi negara.
 
Matlamat itu direalisasi menerusi perbincangan strategik bersama badan-badan penggerak Islam utama.
 
Ini sekali gus menyerlahkan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan perkara yang memberi kepentingan umat Islam sejagat.
 
Komitmen Anwar untuk merapatkan ukhuwah negara-negara Islam sudah dapat dilihat sejak beliau menjadi Ketua Kerajaan.
 
Penyatuan penting bagi mendepani setiap permasalahan dan ancaman terhadap Islam dan umatnya yang semakin mencabar.
 
Oleh itu, Perdana Menteri mahu perhatian serius diberi terhadap isu Islamofobia.
 
Malaysia menggesa negara-negara anggota Persatuan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah tegas dalam membanteras Islamofobia dan nasib negara Palestin.

Perdana Menteri berkata sebarang tindakan kebencian dan keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan, tidak boleh sesekali dibiarkan. 

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha dalam pertemuan khas di Mekah pada hari kedua kunjungan ke Arab Saudi.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi diberi penghormatan
kerajaan Arab Saudi untuk menziarahi Raudhah dan Makam baginda Nabi Muhammad SAW/FOTO Anwar Ibrahim)

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Turkiye akan melaksana kerjasama konstruktif dalam mengekang Islamofobia menggunakan pendekatan khusus bagi meningkatkan kefahaman mengenai ajaran Islam sebenar.
 
Selain itu, beliau turut menyuarakan keterbukaan Malaysia untuk mengadakan perbincangan semula berhubung pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang dihentikan sebelum ini.
 
Inisiatif KSCIP bertujuan menjadi platform mempromosi keamanan sejagat, selain mempelopori pendekatan wasatiyyah dalam menangani keganasan.
 
“Mana-mana kerajaan berhak atau boleh mencadangkan penutupan, tetapi dengan sahabat (Arab Saudi) harus ada rundingan, harus ada notis, harus ada perbincangan. Ini nampaknya tidak dijalankan. 

“Jadi saya tidak boleh pertahankan cara gopoh penutupan inisiatif tanpa berunding dengan pihak terlibat,” katanya dalam sidang media di akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi, di sini, pada Jumaat. 

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pembangunan dan kemajuan ekonomi juga perlu diutamakan negara-negara Islam terutama yang berada dalam fasa pasca-konflik.
 
Ke arah itu, Perdana Menteri mencadangkan agar peranan instrumen kewangan Islam segera dipertingkatkan.
 
Pusat Kecemerlangan Bank Pembangunan Islam (ISDB) di Kuala Lumpur akan diperkasa menjadi sebuah platform yang mampu meneroka kaedah baharu memperkukuh instrumen kewangan Islam; selain dasar baharu bagi mengangkat martabat umatnya.

Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.

Laporan Andy Reza Rohadian.

Media Baharu