fb fb fb fb fb

Rangkuman: Lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi tarik lebih banyak pelabur asing

JEDDAH, 25 Mac - Meskipun singkat namun lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi hari ini mampu meningkat keyakinan lebih banyak komuniti perniagaan untuk melabur di Malaysia.
 
Ia didorong kestabilan politik dalam kerajaan sedia ada; selain dasarnya menekankan aspek tadbir urus yang baik bagi membanteras rasuah.
 
Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri pemimpin utama Dewan Perniagaan Jeddah dan Dewan Perniagaan Nasional Arab Saudi, yang ditemui beliau semasa kunjungannya ke negara Asia Barat itu.
 
"Kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja gembira, malah memberi jaminan mengambil langkah untuk melabur di Malaysia dengan kadar segera.

"Mereka telah menantikan saat ini. Mereka sangat mengenali Malaysia kerana sudah menjalin kerjasama sejak era 80an dan 90an lagi.

"Namun menunggu masa ini, ketika ada arahan jelas dan komitmen untuk memudahkan pembukaan perniagaan. Juga, fokus kepada isu tadbir urus dan usaha membanteras rasuah," katanya pada sidang media khas penutup tirai lawatan tiga harinya ke Arab Saudi yang berakhir semalam.
 
Semasa pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi pada hari kedua kunjungan, Perdana Menteri mempelawa pemain industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan  untuk melabur serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat di Malaysia. 
 
Beliau menggalakkan pemain industrti untuk melabur dalam bidang yang menjadi keutamaan Malaysia iaitu teknologi digital, keselamatan makanan dan infrastruktur.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan delegasi ketika melakukan ziarah di Madinah/FOTO Facebook Anwar Ibrahim)

Sepanjang lawatan rasminya, beliau yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di sini.

Sepanjang lawatan rasminya, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.

Anwar dan delegasi sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta diberi penghormatan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menziarahi Raudhah dan Makam baginda Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah.

Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.

Media Baharu