fb fb fb fb fb

Banjir Johor: Enam fasiliti KKM rosak, RM1.87 juta anggaran kerugian

(Dr Zaliha semasa melawat Klinik Desa Kampung Tengah di Segamat)

SEGAMAT, 26 Mac- Kerosakan enam fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) akibat banjir di Johor dianggarkan berjumlah RM1.87 juta.

Manakala tempoh baik pulih dijangka memakan masa enam bulan dengan kos dianggarkan bernilai RM750,000.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kerosakan melibatkan Klinik Kesihatan Chaah serta Klinik Desa Kampung Tengah, Kampung Jawa, Kampung Jabi, Tenang Station dan Desa Temu Jodoh di Segamat.

Jelasnya, perkhidmatan Klinik Kesihatan Chaah dipindahkan sementara ke Dewan Serbaguna Pekan Chaah, sementara perkhidmatan Klinik Desa Kampung Tengah diambil alih Klinik Kesihatan Segamat, akibat rosak teruk.

Manakala klinik desa yang lain beroperasi seperti biasa kerana kerosakan hanya melibatkan bangunan.

"Kerosakan berlaku termasuk rekod-rekod perubatan, juga perabot-perabot dan peralatan, jadi buat masa ini kita beroperasi juga di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Desa Kampung Tengah di Segamat.


(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa)

KKM juga katanya sedang mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memindahkan fasiliti-fasiliti kesihatan yang sering terkesan dengan banjir.

Sementara itu dalam perkembangan lain mengenai cadangan mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak bagi meningkatkan kualiti kesihatan di negara ini, Dr Zaliha berkata pihaknya sedia mempertimbangkan.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu memerlukan penilaian terperinci.

"Itu satu padangan yang baik kita boleh mempertimbangkan tapi sepeti biasa ia bukan satu perkara yang kita boleh laksanakan dengan cepat, ia melibatkan satu sistem yang ekosistem perkhidmatan sendiri, kita kena bawa kepada pertimbangan lanjut," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemilogist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang mahu kerajaan mewujudkan sistem bebas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

Ia supaya kebajikan anggotanya dapat ditambah baik menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang berperanan sebagai sumber manusia manakala Sistem Pembiayaan Kesihatan bagi bajet dan kewangan.

Media Baharu