fb fb fb fb fb

Lawatan negara Xi Jinping dorong kerjasama pelbagai sektor Malaysia-China

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Media dan Pemikir ASEAN-China di ibu negara / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 April – Lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 April ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata lawatan rasmi itu merupakan satu penghormatan besar kepada Malaysia dan diyakini akan merangsang bukan sahaja sektor perdagangan, malah mempererat hubungan rakyat antara kedua-dua negara.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi Malaysia, dan saya percaya kita mempunyai banyak peluang untuk dibincangkan, diperkukuh dan dibina – baik dari segi pencapaian lalu mahupun potensi masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Media dan Pemikir ASEAN-China di ibu negara, hari ini.

Tambah Fahmi, lawatan Xi juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh dan mempelbagaikan hubungan perdagangan serta diplomatik Malaysia dengan pelbagai negara utama di dunia.

Sejak tahun 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia secara global selama 15 tahun berturut-turut.

Statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan bahawa jumlah dagangan dua hala pada 2023 mencecah RM450.84 bilion, merangkumi 17.1 peratus daripada keseluruhan dagangan global negara.

Sementara itu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), China turut berada di kedudukan kelima sebagai pelabur asing terbesar di Malaysia, dengan jumlah pelaburan mencecah RM14.5 bilion.

Lawatan rasmi Presiden Xi dijangka turut membabitkan perbincangan strategik melibatkan pelaburan, teknologi, pelancongan, pendidikan serta hubungan antara rakyat (people-to-people ties) antara kedua-dua negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN