PUTRAJAYA, 11 April – Siasatan berhubung insiden kebocoran gas di Putra Heights sedang giat dijalankan oleh pasukan pegawai siasatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang kini masih berada di lokasi kejadian.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pasukan yang terdiri daripada lima anggota itu sedang mengumpul data dan mengenal pasti pendekatan lanjut bagi menjalankan kajian secara menyeluruh, dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta agensi teknikal lain.
“Kerjasama utama adalah dengan pihak DOSH. Sebaik sahaja maklumat lengkap diperoleh, kami akan duduk bersama dan menyusun semua dapatan berkaitan insiden ini. Pada masa sama, kita juga akan melihat perbandingan dengan amalan terbaik di seluruh dunia untuk merangka cadangan penambahbaikan kepada pihak Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi tender bekalan JBPM bersama syarikat pembekal CLW Special Automobile (M) Sdn. Bhd. yang diadakan di Ibu Pejabat JBPM, Presint 7 di sini.
Nor Hisham turut memaklumkan laporan akhir insiden tersebut akan digunakan sebagai asas untuk mencadangkan langkah keselamatan baharu dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan bahan mudah terbakar di masa hadapan.