
KUALA LUMPUR, 15 November – Lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat akan menumpukan, antara lain, kepada usaha mempelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi Perancis yang penting bagi pembuatan motor elektrik serta peranti elektronik.
- Macron berkata lawatan bertujuan memperkukuh perkongsian ekonomi serta melindungi pekerjaan dan industri di Perancis dan wilayahnya.
- Jaminan pelbagai sumber bekalan mengurangkan kerentanan gangguan rantaian bekalan dan membolehkan kilang melabur serta mengekalkan pengeluaran.
- Perkongsian antarabangsa dan rakan kongsi lebih ramai mengurangkan kebergantungan pada bahan kritikal terhad dan membuka peluang ekonomi bersama.
Menerusi hantaran di platform media sosial X pada Sabtu, Macron berkata lawatannya ke Kemboja dan Malaysia bertujuan memperkukuh perkongsian ekonomi serta melindungi pekerjaan dan industri di Perancis serta di seluruh wilayahnya.
“Di Malaysia, saya datang khususnya untuk mempelbagaikan bekalan unsur nadir bumi kami. Kita jarang memperkatakannya, namun ia amat penting untuk menghasilkan magnet yang digunakan dalam motor elektrik dan peranti elektronik tertentu,” katanya.
Macron berkata jaminan pelbagai sumber bekalan akan membantu pengeluar Perancis mengurangkan kerentanan terhadap gangguan rantaian bekalan.
“Bagi kilang-kilang kami, mempunyai beberapa sumber bekalan bermakna mengurangkan risiko terpaksa menghentikan barisan pengeluaran akibat kekurangan alat ganti. Ia juga bermakna dapat melabur dan menghasilkan produk di Perancis dengan kepastian yang lebih tinggi mengenai masa depan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkongsian antarabangsa yang lebih kukuh adalah penting bagi memastikan daya tahan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan kritikal yang terhad.
“Lebih banyak rakan kongsi, kurang kebergantungan. Perjanjian kita membuka pintu. Bahasa, budaya dan persahabatan memastikan ia terus terbuka. Ini baik untuk negara kita,” katanya.
Lawatan Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini susulan lawatan negara ke Kemboja dan menandakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak 2017.
Macron memaklumkan bahawa di Kemboja, beliau akan diiringi pemimpin perniagaan bagi meneroka pasaran baharu dengan memanfaatkan komuniti berbahasa Perancis serta hubungan ekonomi sedia ada.
“Di Kemboja, saya datang bersama pemimpin perniagaan untuk membuka pasaran baharu dengan memanfaatkan dunia berbahasa Perancis yang merapatkan hubungan kita,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan peluang untuk kepakaran Perancis menyumbang kepada pembangunan Kemboja, dengan merujuk kepada minat negara itu untuk memanfaatkan pengalaman Rungis International Market, iaitu pasar borong hasil segar terbesar di dunia, bagi membangunkan kemudahan pasar borongnya sendiri. – BERNAMA