fb fb fb fb fb

Lawatan kementerian, syarikat, agensi kerajaan perlu kelulusan menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUCHONG, 20 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua projek baharu dan lawatan tugasan ke luar negara setiap agensi kerajaan perlu dirujuk kepada ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah masing-masing serta diluluskan menteri berkenaan.

Anwar menjelaskan, keputusan itu diambil sebagai salah satu usaha pembaharuan bagi mengelakkan pembaziran dana selain mahu memastikan pelanggaran kepada usaha tersebut, tidak boleh dibiarkan berlaku.

"Reformasi dalam jabatan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan, agensi-agensi mesti berterusan. Rabu lalu dalam mesyuarat jemaah menteri, kita lebih tegas menuntut semua syarikat agensi kerajaan, walaupun lembaga berkuasa.

"...tetapi kadang-kadang lembaga buat keputusan yang memihak kepada kepentingan mereka. Oleh itu semua projek-projek baharu, lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan," jelas beliau.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau sendiri telah membatalkan satu permohonan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan yang menurutnya telah mendaftar sehingga 68 kakitangan hanya untuk menghadiri satu pameran kecil di Berlin.

Dalam pada itu Perdana Menteri mahu semua menteri bertanggungjawab terhadap sebarang kelulusan diberikan.

"Menteri yang ingin melawat mana-mana negara perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri, dan biasanya kita akan menilai semula sama ada perlu membawa kakitangan tertentu atau tiada keperluan sama sekali," katanya.

"Atau lebih baik tangguhkan sahaja lawatan tersebut dan sekalikan dengan lawatan Perdana Menteri, di mana, MoU (Memorandum Persefahaman) boleh turut ditandatangani dalam majlis yang sama. Ini akan jimat belanja," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI