fb fb fb fb fb

Lawatan ke Rusia bakal bawa manfaat terbaik - Anwar

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

VLADIVOSTOK, 5 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan lawatan rasmi dua hari beliau ke Rusia bertujuan merungkai cabaran dan meneroka lapangan yang berpotensi untuk dimantapkan demi kemakmuran kedua-dua negara.

"Lawatan ini pasti membawa manfaat yang terbaik kepada rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Rusia tatkala kita merungkai selain meneroka peluang dan lapangan yang mampu dimantapkan," kata Anwar menerusi Facebook beliau hari ini.

Menerusinya Anwar turut berkongsi video mengenai rangkuman lawatan hari pertama beliau di Vladivostok, Rusia, semalam.

Ia memaparkan pertemuan beliau bersama Rais (Ketua) Tatarstan Rusia Rustam Minnikhanov, Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov yang juga Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam serta Presiden Rusia Vladimir Putin.

"Rangkuman hari pertama lawatan kerja dua hari ke Vladivostok dengan pertemuan bersama Vladimir Putin semalam menjadi acara kemuncak," katanya.

Dalam pada itu Anwar hari ini akan menyampaikan ucaptama di sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) di Vladivostok pada pukul 1.00 tengah hari waktu Malaysia.

"Saya akan menyampaikan ucaptama di Sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF 2024) yang akan diikuti dengan sesi soal jawab. Nantikan," katanya.

Sesi itu akan disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook beliau dan stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia, Bernama TV, Media Prima, Astro Awani, TVS dan TV Al-Hijrah.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA