VLADIVOSTOK, 5 September - Komuniti antarabangsa, terutama blok Barat tidak perlu gusar dengan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS.
Ini kerana penyertaan Kuala Lumpur dalam pertubuhan tersebut tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik yang sedia terjalin dengan negara-negara lain.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia merupakan negara yang berdaulat dan bebas.
Jelas beliau, penyertaan ke dalam mana-mana kerjasama yang tidak menjejaskan prinsip dan integriti boleh dipertimbang.
"Mengapa Malaysia negara bebas, negara yang kita sebut ''centrality'', mengambil sikap terbuka tidak harus mengembangkan kerjasama dengan semua negara.
Bukan semua kita setuju. Ada kita beda pendapat dengan Eropah, beda pendapat dengan India, China atau Rusia. Tapi ini tak menghalang hubungan baik.'' katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan hasrat negara menyertai BRICS mendapat respon positif Rusia.
Pengerusi kumpulan itu turut menjemput Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS yang berlangsung bulan depan.
"Dia telah mengundang saya untuk hadir dalam Sidang BRICS di Kazen bulan depan.
"Kita sedang teliti kerana bulan depan terlalu banyak program keluar, akan bincang kemungkinan hadir ataupun wakil, tapi ini suatu perkembangan yang sangat menarik." katanya.